SARAH Chee, 63, disahkan mengalami barah payudara 13 tahun lalu ketika gaya hidupnya begitu aktif, sangat sihat lagi cergas, berjoging tiga kilometer setiap hari adalah rutin.
“Pada 1997, doktor mengesahkan ada ketulan pada payudara saya dan mahu saya melakukan mamogram, tetapi selepas itu doktor memberitahu ia bukan barah... saya sangat lega. Disebabkan kejahilan dan sentiasa menafikan punya masalah kesihatan, ketulan yang ada tidak diendahkan sehinggalah 10 bulan berlalu.
“Pelik rasanya sebab kalau betul ia tidak bersifat barah, mengapa ketulan itu makin membesar. Akhirnya saya jadi mangsa sikap jahil dan tak ambil tahu apabila doktor mengesahkan ia barah payudara peringkat bahaya. Saat itu saya berasa alangkah baiknya jika bumi ini terbelah dan terus menelan tubuh ini hidup-hidup,” kata suri rumah berkenaan.Sarah berkata, pelbagai persoalan berlegar dalam kepalanya, namun semua sudah terlambat dan kekesalan menebal memikirkan bagaimana dia langsung tidak mempedulikan ketulan yang ada selama 10 bulan, apatah lagi membuat kajian dan membaca mengenai barah payudara.
“Air mata sudah tak bermakna lagi, kini saya perlu menerima kenyataan untuk terus hidup dan payudara saya perlu dibuang,” katanya dalam nada kesal.
Bermula saat itu, seluruh keluarga dan anak-anaknya mula mengkaji, mendalami dan memahami karakter barah payudara termasuk menerusi internet dan buku. Dia sendiri mula meyakinkan diri untuk bangkit semula dan memulakan kehidupan baru yang lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment